LONDON: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) semalam, memeterai dua perjanjian dengan dua syarikat terkemuka antarabangsa bagi membolehkan sayap komersial FELDA itu muncul peserta komoditi terbesar dan disegani dunia.
Perjanjian pertama membabitkan usaha sama strategik dengan Louis Dreyfus Commodities Asia Pte Ltd (LDCA) manakala yang kedua memorandum persefahaman (MoU) dengan Vitol S A. bagi kerjasama dalam bidang bekalan, dagangan antarabangsa, pemasaran, operasi logistik dan pengurusan risiko mengenai pelbagai komoditi termasuk minyak dan lelemak.
Dua perjanjian berkenaan bertujuan melantik dua syarikat asing itu sebagai rakan niaga strategik FGVH sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, akhir Jun ini.
Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Presiden dan Ketua Eksekutif FGVH, Datuk Sabri Ahmad memeterai perjanjian bagi pihak FGVH manakala LDCA diwakili Ketua Eksekutifnya, Serge Schoen manakala Ahmad Sabri mewakili FGVH manakala Vitol Group diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Jeff Delapina.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyaksikan kedua-dua majlis berkenaan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia berkata, sebahagian daripada strategi baru FELDA selepas penyenaraian FGVH ialah muncul sebagai antara syarikat komoditi terbesar di dunia dari peringkat huluan hinggalah ke peringkat hiliran.
Pada sidang medianya, Najib berkata, pasaran di luar negara termasuk Eropah, Asia Barat dan juga Russia memerlukan kita menghubungkan FELDA dan FGVH bersama syarikat berasaskan komoditi global lain yang mempunyai jaringan dan mengetahui selok-belok dalam bidang komoditi.
“Saya yakin dan percaya dengan wujudnya perkongsian strategik ini, FGVH boleh muncul sebagai syarikat yang disegani dan antara yang terbesar di dunia,” katanya.
Mengikut perjanjian dengan LDCA, kedua-dua pihak akan berunding strategi kerjasama meluas bagi cadangan pelaburan syarikat Perancis itu dalam FGVH serta usaha sama pemasaran dan aset hiliran yang akan dilaksanakan.
Perjanjian itu adalah bagi menyatukan kekuatan kedua-dua syarikat berkenaan dalam pengeluaran dan pemprosesan minyak sawit mentah (MSM), manakala LDCA dalam perdagangan MSM dan produk ditapis serta pengurusan risiko aktiviti berkenaan bagi memaksimumkan nilai yang diwujudkan di sepanjang rantaian bekalan untuk menjadi salah satu peserta minyak sawit bersepadu terbesar di dunia.
Sumber : Berita Harian Online
LONDON 15 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya perjanjian kerjasama strategik antara Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) dan Louis Dreyfus Commodities Asia Pte. Ltd. (LDCA) serta memorandum persefahaman (MoU) dengan Vitol Group akan menjadikan syarikat perladangan kelapa sawit itu muncul sebagai konglomerat komoditi antarabangsa terbesar di dunia.
Menurut beliau, sebahagian daripada strategi baru Felda berikutan dengan penyenaraian FGVHB ialah untuk menjadikannya sebagai syarikat komoditi terbesar daripada peringkat peladangan hingga pemasaran.
''Pasarannya di luar negara termasuk di Eropah, Asia Barat dan Rusia dan ini memerlukan kita menggabungjalinkan Felda dan FGVHB dengan syarikat komoditi yang mempunyai rangkaian dan mengetahui selok-belok penyenaraian komoditi.
''Saya yakin dan percaya dengan wujudnya kerjasama strategik ini Felda Global Ventures boleh muncul sebagai syarikat komoditi terbesar di dunia," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Najib menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu yang turut dihadiri oleh Pengerusi Felda dan FGVHB, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGVHB, Datuk Sabri Ahmad, manakala Louis Dreyfus Holdings diwakili oleh Pengerusinya, Baroness Margarita Louis-Dreyfus, Presiden dan CEO Kumpuan Vitol, Ian Taylor.
Perjanjian FGVHB dengan Louis Dreyfus membabitkan kerjasama dalam urusan perladangan dan pemasaran iaitu FGVHB ialah sebagai pengeluar dan pemproses minyak mentah sawit (CPO) dan LDCA sebagai pengeluar minyak bertapis dan barangan pengguna.
Sementara itu, MoU antara FGVHB dan Kumpulan Vitol ialah perjanjian yang melibatkan kerjasama bagi membekal, perdagangan antarabangsa, operasi logistik dan pengurusan risiko.
FGVHB ialah syarikat langsung Felda yang terlibat dalam pertanian global dan komoditi yang beroperasi di 10 negara dan buat masa ini pengeluar minyak sawit ketiga terbesar di dunia. Ia menguruskan 343,521 hektar ladang kelapa sawit di Malaysia yang mengeluarkan 5.2 juta metrik tan kelapa sawit pada 2011.
Vitol pula yang ditubuhkan di Rotterdam, Belanda terbabit dalam pasaran tenaga dunia dan perdagangan komoditi. Ia juga ialah antara pengendali kapal tangki minyak dan minyak kelapa sawit terbesar di dunia.
Sumber : Utusan Online
- Simpan duit labur dalam KPF, tunai umrah
- Durian runtuh Felda
- Jangan jual saham - PM
- Titisan air mata gembira peneroka
- Durian runtuh dibayar 3 kali
- Durian runtuh peneroka Felda
- RM15,000 setiap keluarga
- Peneroka teruja nanti 8 Mei
- Generasi kedua Felda mesti waspada
- Kuota anak peneroka di KFCH International College